27 Mar 2014

Angin Semilir



Pada suatu hari, Raja Monyet bertengkar dengan Ribut tentang siapakah yang lebih kuat? Kata Ribut 

“Aku lah yang lebih kuat kerana tiupan ku boleh meranap dan menerbangkan apa saja yang ada di depan ku.”. 
“Baiklah” 

jawab Raja Monyet sambil duduk bertenggek di dahan sepohon Ara yang tunjangnya menerjah bumi sedalam puluhan kaki. 

“Aku cabar kamu wahai Ribut, jika kamu betul-betul kuat, cubalah jatuhkan aku dari singgahsana ku ini!” 

cabar Raja Monyet yang sudah siap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Mendengar cabaran itu, tanpa membuang masa Ribut pun menghembus sekuat hati sehingga kehabisan nafas, tetapi tiupannya itu hanya mampu menerbangkan semua dedaun dan reranting kecil sahaja. 

Apa lagi, Raja Monyet ketawa terbahak-bahak sambil menyindir 

“Itu sahaja kah kekuatan mu wahai Ribut?”.

Raja Monyet terus ketawa. Oleh kerana terlalu malu, Ribut hanya mampu berdiam diri sahaja. Ketawa Raja Monyet itu telah didengari oleh Semilir yang sedang berlalu di situ. Lalu Semilir bertanya 

“Apakah yang melucukan kamu wahai Raja Monyet?”. 

Dengan angkuh Raja Monyet itu menjawab 

“Ribut mengaku dialah yang paling kuat tetapi tidak mampu menjatuhkan aku dari singgahsana ku ini. Tiupannya hanya mampu menerbangkan dedaun dan reranting kecil sahaja… ha… ha… ha…” 

Raja Monyet itu ketawa lagi. Sejurus mendengar jawapan itu, Semilir bertanya lagi 

“Adakah boleh aku mencuba?”. 

Pertanyaan itu menyebabkan Raja Monyet ketawa lebih kuat. 

“Wahai Semilir, lagikan Ribut tidak dapat menjatuhkan aku apatah lagi kamu yang lemah-lembut ini. Baik lah, jika kamu beriya-iya sangat, silakan!” 

cabar Raja Monyet yang angkuh itu. Semilir pun terus bertiup lembut. Tiupannya itu menyebabkan mata Raja Monyet menjadi lali dan mengantuk. Raja Monyet itu terus tertidur lalu jatuh tersungkur ke bumi dan mati. Melihatkan kejadian itu Ribut pun berkata 

“Wahai Semilir, tidak ku sangka kelembutan yang ada pada dirimu dapat melemahkan kekuatan Raja Monyet. Mulai hari ini, aku mengizinkan kamu bertiup mendahului aku.”

begitulah ceritanya.Di samping cerita ini, ada satu perkara lagi yang menarik tentang angin semilir ialah sifat dan kekuatannya itu telah dijadikan asas salah satu strategi dalam menghadapi krisis atau peperangan. 

Strategi ini dikenali sebagai strategi “pedang tersarung” yang menggariskan taktik-taktik untuk menakluki sesuatu tanpa sebarang kemusnahan.


menurut kamus dewan. angin semilir bermaksud angin yang bertiup lembut.

0 comments:

Post a Comment

kata murni sahabat2 gua.