17 Sep 2014

The Part Time Writer

Suhaina, satu-satunya wanita yang memberi aku motivasi dan semangat untuk terus menulis. Apabila lihat saja perkongsian penulisannya di alam maya, lalu aku mula menaip. Tak pasti samada untuk bersaing atau menunjuk-nunjuk. Apa yang pasti, setiap patah kata darinya mencetuskan keazaman untuk aku menulis.

“Kalau dia boleh, aku juga mesti boleh”

Secara jujurnya, memang aku sama sekali langsung tidak mengingati akan bagaimana persis wajahnya. Malah, siapakah gerangan hal dirinya pun aku sudah lupa.

Sehinggakan suatu hari dia menghantar mesej melalui peti mesej muka buku.

“Page Part Time Writer tu kau punya ke?”

“Aku minat betul dengan ‘page’ tu, tak tahu kenapa.”

Aku sendiri tidak faham, apa yang istimewa dengan ‘page’ itu. Tanpa membuang masa aku melantik dia sebagai ‘page editor’. Bagi membantu aku dalam mentadbir ‘page’ yang entah apa nilainya.

Gembira betul Suhaina, jelas kegembiraan dia terpancar dari usahanya meningkatkan jumlah ‘liker page’.

Namun begitu, aku masih lagi tidak kenal siapa dia yang sebenarnya. Wajahnya juga seperti tiada dalam memori. Seperti terkunci lama dalam kotak kecil yang usang sudah tidak diambil peduli.

Aku tenang, sabar dan bertanya dengan semua rakan sebaya. Sehinggalah aku betul-betul pasti, siapa sebenarnya insan yang memiliki nama Suhaina.

Aku seorang peniaga kecil-kecilan di tepi jalan besar, Jalan Meru. Di situ terletaknya satu gerabak usang. Gerabak itulah yang menjadi mata pencarian rezekiku hasil dari menjual burger.

Cara aku mempromosikan jualan di muka buku sedikit berhasil. Buktinya ramai rakan-rakan lama singgah mencuba. Malah dia juga bersungguh untuk membeli. Mungkin untuk bersua juga, maklumlah hampir 10 tahun lamanya sudah tak berjumpa.

Lantas aku meminta izin untuk mendapatkan nombor telefon agar lebih memudahkan kami berhubung.

Selepas kami berjumpa, keakraban persahabatan yang terjalin semakin mesra dan rapat. Hampir semua perkara dan masalahku dikongsi bersama Suhaina.

Walau pada hakikatnya, aku memang tidak mahu dia tahu apa sebenarnya yang terjadi di sebalik senyum tawa riang gembiraku. Aku tak mahu dan memang tak mahu kerana bagiku cukuplah rakan-rakan sepermainan dan keluarga sendiri menjadi tempat mengadu.

Satu hari aku ditimpa musibah. Khemah gerabak aku tumbang ditiup badai. Lemah sungguh, hilang semangat turut juga punah segala harapanku untuk meneruskan sisa saki baki perjuangan.

Sudah dua kali terjadi. Aku seakan terduduk tersembam jatuh di lumpur. Kali ini jiwaku dan hatiku mengeluh. Keluhan yang betul-betul tampak biadap apabila mempersoalkan kuasa Tuhan.

“sabar Mie.”

“Sabar Pendo.”

Mudah sekali bila mereka memujuk. Memberi aku kata-kata semangat untuk terus bersabar. Sedang kesabaran sudah hampir kosong dalam diri ini.

“Suwey la kau Mie.”

Aku hanya mampu tergelak apabila Mama berkata demikian. Aku tidak begitu endah kerana tahu Mama cuma bergurau.

“Allah sayang kau Mie.”

Tiba-tiba saja aku tersentap. Kata-kata Suhaina itu menggelatarkan tulang sum-sum. Rusukku bagai dilenyek-lenyek sehingga hancur lumat.

“Astaghfirullahal a'zim.”

Bagaimana keyakinanku terhadap takdir Tuhan hilang. Selama ini tidak pernah tersinggung. Malah, membuatkan aku terus semangat mengharung.

Suatu hari lagi, gerabak yang usang dipecah. Kali ini tong gas pula yang hilang. Seperti biasa, rakan-rakan dan teman memberikan pelbagai idea dan mententeramkan diriku agar terus tenang dan bersabar.

“Allah memang betul-betul sayang kau Mie.”

Kata-kata Suhaina masih sama seperti hari sebelum ini.

Menitis air mata, tak tertahan. Aku tak pasti, apa yang aku tak dapat untuk menahan sehingga mengalir manik mutiara dari celah kelopak mata.

Apa yang aku pasti, Tuhan telah mengetuk jiwa ini yang semakin kelam dan karam. Terima kasih Tuhan, kerana mengutuskan Suhaina untuk memukul dan melibas nafsuku.

Siapa tahu, diantara ramai kenalan hanya dialah sahabat yang berjaya menempelak nafsu ammarahku.

Aku harap dia sihat walafiat dan sembuh dari penyakit. Bila ditanya sakit apa langsung tak pernah beritahu secara jelas. Aku anggap saja itu sakit perempuan.

Bagiku, pengorbanan dan jasanya pada ummah begitu besar. Masakan tidak, bukan mudah menjawat jawatan sebagai seorang jururawat.

Selain itu, aku juga berharap agar dia dijodohkan dengan lelaki yang soleh, beriman dan bertaqwa kepada Tuhan. Dia layak mendapat kebahagiaan itu di sini, di dunia ini.

Semoga Berjaya, Sahabat.

Yang benar,
cimiePendo
Reactions:

0 comments:

Post a Comment

kata murni sahabat2 gua.